Friday, June 21, 2019

Kenapa saya suka membaca novel????


                                 “Awak suka baca novel? Mesti awak ni sensitif orangnya kan?”
                                       “Setahu saya, orang yang suka baca novel ni jiwang!”
                                                     “Hoi, jiwang gila kau ni baca novel!” 

Itu adalah beberapa ayat yang saya masih ingat apabila saya memberitahu seseorang yang saya suka membaca atau dilihat sedang membaca novel. Adakah saya seorang yang sensitif? Adakah saya ini jiwang? Jawapannya tidak sama sekali. Saya tidak jiwang mahupun sensitif. Cuma saya minat membaca. Jadi apa salahnya jika saya membaca novel? 
 
     Minat membaca saya berputik sejak dari kecil lagi. Ketika itu, saya mula gemar membaca buku cerita-cerita pendek yang banyak terdapat di rumah. Walaupun hanya sekadar suka-suka dan terpengaruh dengan ilustrasi-ilustrasi yang dilakar dalam buku tersebut, tapi di situlah bermulanya titik tolak minat saya dalam dunia pembacaan ini.

 
     Ketika masuk ke sekolah rendah, saya sudah mula rajin membaca. Saya sering meminjam buku cerita dari kakak saya untuk dibaca selain dari ke pusat sumber untuk meminjam buku. Ketika itu, saya juga ada mencuri keluar buku-buku yang saya suka dari pusat sumber sekolah. Maklumlah,saya hanya boleh meminjam dua buah buku sahaja seminggu. Bagi saya, dua buah buku tidak mencukupi. Saya boleh menghabiskan kedua-duanya dalam masa sehari sahaja, jadi membawa keluar tiga atau empat buah buku sudah memadai untuk seminggu pembacaan di rumah atau sekolah. 

 
     Mendiang ayah turut memahami minat saya. Seringkali saya meminta ayah membawa saya ke kedai buku. Kadangkala saya mengikut ayah pergi berkerja pada waktu petang dan ayah menghantar saya ke kedai buku untuk memilih bahan bacaan. Selepas ayah pulang dari pejabat, ayah akan menjemput saya dan membayar untuk buku-buku yang saya pilih. Terima kasih ayah.. Buku-buku yang ayah belikan masih lagi saya simpan di rak buku. Meskipun sudah agak lama, kadang-kadang saya masih lagi mengulang baca ceritanya. Cerita zaman kanak-kanak, pastinya penuh dengan fantasi dan pengembaraan yang tak terhingga.

 
     Masuk ke sekolah menengah, bahan bacaan saya semakin berkembang. Ketika itu saya mula membaca novel-novel percintaan terbitan Alaf 21. Gilanya saya membaca sehinggakan saya boleh menghabiskan buku 300-500 mukasurat dalam masa hanya sehari. Membaca ini seolah-olah meletakkan saya berada dalam alam novel tersebut. Seolah-olah saya sedang memerhati setiap perlakuan dan mendengar setiap perbualan yang ditulis. Menakjubkan bukan??.. Membaca novel dapat meletakkan kita dalam satu daerah misteri yang sukar untuk diungkapkan melainkan kita membaca
nya sendiri.

     Teringat juga di waktu Ibu memuji saya dihadapan adik beradik yang lain. Dalam banyak-banyak anaknya, saya seoranglah yang paling rajin membaca. Apa tidaknya, setiap kali hendak makan, tabiat saya adalah untuk mendapatkan sesuatu untuk dibaca. Tak kira lah buku cerita, majalah-majalah komik mahupun suratkhabar lama. Saya mesti ada sesuatu untuk dibaca ketika makan. Timbul kepuasan apabila saya makan sambil membaca. Anda seorang perokok? Apakah rasanya merokok sejurus selepas makan? Itulah yang saya rasa apabila membaca sambil makan.


    Kini, semenjak dah ada pendapatan sendiri, minat membaca seterusnya mengumpul koleksi novel semakin menjadi-jadi. Saya sanggup berbelanja sehingga Rm300-Rm500 sebulan hanya untuk membeli novel-novel yang diminati. Mungkin bagi sesetengah orang, hobi saya ni adalah hobi membazir tetapi bagi saya membaca dapat memberi ketenangan kepada saya. Inilah kehidupan saya dengan hobi membaca dan mengumpul novel.
 

No comments:

Post a Comment

Video Saya